Khamis, 10 Februari 2011

Memperkasa Kebangkitan...

Salam Sejahtera...
Alhamdulillah...perancangan yang baik pasti membuahkan hasil yang terbaik. Usaha dan kegigihan mewarnai perjalanan setiap insan yang dahagakan kejayaan. Kejayaan tidak akan melalui jalan mudah dan tidak akan datang bergolek tanpa usaha terbaik daripada kita. Tekadkan dan tanamkan keyakinan untuk menuai hasilnya. Kalungan tahniah buat para atlit pasukan Merentas Desa SMKPT yang telah mengungguli persada kejuaraan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah 2011. Itu adalah langkah permulaan agar tradisi kegemilangan ini dapat kita perkasakan. Siapa sangka dengan hanya 600 pelajar kita mampu bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih hebat dan gah reputasinya. Sesungguhnya, keringat dan peluh yang membasahi wajah-wajah riang para atlit dapat menggambarkan kebanggaan mereka. Menumpaskan SMKDSA dan SMKKN, dua sekolah elit yang hadir dengan reputasi tinggi untuk menyapu bersih pingat-pingat kemenangan. Nyata, mereka hadir dengan sokongan yang kuat, kelengkapan dan penyertaan penuh 16 peserta dalam semua acara. Tetapi atlit-atlit kita tidak gentar untuk bersaing sama biarpun pada hakikatnya tiada siapa pernah menduga dengan hanya 11 peserta tiba-tiba kita melakar sejarah bermakna. Apa tidaknya, mengungguli 2 kategori acara seterusnya dinobatkan JUARA KESELURUHAN. Lakaran kehebatan nyata terserlah apabila 10 daripada 11 atlit kita tidak pulang hampa. Mereka telah dikalungkan pingat-pingat kemenangan sebagai tanda kebangkitan kita. Moga kebangkitan ini akan terus kita perkasakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan