Rabu, 9 Mac 2011

Kalaulah Madihah milik kita...


Kes Madihah dan Kesannya kepada Pembangunan Sukan Daerah
Keputusan telah dibuat dan tulisan ini tidak mampu untuk mengubah keadaan dalam apa keadaan sekalipun kerana kita terlalu taksub dengan keputusan-keputusan dalam mesyuarat. Apatah lagi undian secara belah bahagi pastinya tidak memberi kesan jika pihak yang tersilap mengakui kesilapan dan berjanji untuk membetulkan keadaan. Perbincangan pula diadakan kononnya secara dalam keluarga dan semangat musyawarah. Inilah situasi yang berlaku dalam kes Madihah sehingga peraturan diabaikan sekaligus menjadikan atlit sebagai mangsa.

Madihah bt Idris, pelajar tingkatan 1 di Sekolah Sukan Negeri. Kejayaan besarnya telah digilap oleh guru-guru SK Padang Terap dan potensinya begitu menyerlah dalam Kejohanan Olahraga di peringkat MSSK dan MSSM. Lantaran itu, tawaran SSN adalah aset yang paling bernilai dalam usaha untuk terus membangunkan potensi atlit ini. Ibu dan bapanya terpaksa melepaskan Madihah pergi dengan berat hati. Semua pihak pastinya gembira kerana Madihah menjadi ikon baru dalam sukan daerah yang mungkin mengembalikan zaman kegemilangan Roslinda Samsu. Bakat dan potensinya tentu lebih baik di SSN berbanding SMK Padang Terap yang menjadi pilihan abang dan kakaknya menyambung pelajaran. Dengan segala kemudahan di SSN pastinya Madihah akan lebih menyerlah. Dalam sejarah sukan daerah, Madihah bukan pelajar pertama yang bersekolah di SSN. Nurul Husna (Pelajar SMK Naka) juga pernah di SSN (SMKTA) dan terpilih mewakili Kedah dalam beberapa siri SUKMA. Malah Roslinda Samsu yang kini namanya tercatat dalam sejarah kegemilangan olahraga negara pernah bersekolah di sekolah sukan (SSAAS).  Bezanya mereka pulang mewakuli sekolah dalam Kejohanan Daerah (MSSD) dan telah membantu sekolah asal mereka mencapai kejayaan.  Dalam kes Madihah, keputusan yang dibuat amat berbeza dan bertentangan dengan amalan sedia ada. Madihah telah dilarang untuk mewakili sekolah dan bagi memberi peluang kepadanya bertanding satu pasukan baru yang atas nama MSSD telah diwujudkan.
Kesannya, Madihah masih berpeluang berlari dan beliau telah memenangi pingat emas dalam acara yang disertainya. Madihah membuktikan dia benar-benar hebat dalam saingan dengan atlit sekelasnya. SMK PT tidak rugi apa-apa apabila Madihah berlari untuk MSSK. Apalah sangat dua pingat emas Madihah berbanding sokongan moral dan motivasi yang perlu diberikan kepadanya. Madihah sangat memerlukan sokongan dan motivasi tersebut untuk terus membangunkan potensinya. Bakatnya tidak perlu disekat hanya kerana dia atlit yang boleh menggugat pencapaian sekolah lain memburu emas. Itulah pandangan mereka yang meletakkan pembangunan atlit sebagai agenda utama. Malangnya, niat Madihah untuk berlari dalam acara-acara lain tersekat khususnya larian berganti-ganti. Madihah hilang motivasi untuk berlari kerana pasukannya hanya diwakili oleh beliau seorang. Demikian nasib Madihah, atlit cemerlang yang wajar kita beri perhatian. Membiarkan dia melihat rakan-rakan berlari seakan membunuh minatnya terhadap sukan olahraga.
Mungkin ada yang tersirat disebalik usaha menubuhkan pasukan MSSD bertanding dalam Kejohanan Olahraga Daerah. Hanya mereka yang boleh menjawabnya...

Selasa, 8 Mac 2011

Surat Pohon Penjelasan Tentang Status Atlit SSN

Ruj. Kami : Bil ( 1  ) SMKPT/50/001/9
Ryj. Tuan :
Tarikh       :  08 MAC 2011

 

Pengerusi Kejohanan,
Kejohanan Balapan dan Padang,
MSSD Padang Terap.

Tuan,
POHON PENJELASAN DAN KETETAPAN STATUS PENYERTAAN ATLIT SEKOLAH SUKAN NEGERI (MADIHAH BT IDRIS)
Dengan hormatnya dimaklumkan perkara di atas adalah dirujuk bersama Perkara 3.1.3 Peraturan-peraturan Am MSSM dan Peraturan-peraturan Am MSSK berkaitan status penyertaan atlit Sekolah Sukan Negeri.
2.         Untuk makluman tuan, perkara ini turut diperhalusi dalam Mesyuarat Pembangunan Sukan Negeri Kali kedua yang diadakan di Bilik Mesyuarat SMK Bandar Baru Sintok dan dihadiri oleh semua PPD Kemanusiaan, Penyelia Sukan, dan PTPS Negeri yang menekankan tentang konsep dan matlamat Sekolah Sukan Negeri khasnya dalam usaha menarik penyertaan pelajar untuk belajar di Sekolah Sukan Negeri.
3.         Dalam taklimat tersebut, PK Kokurikulum SSN (En. Balkis b Hj Ismail) menjelaskan beberapa perkara seperti berikut :
            3.1        Sekolah Sukan Negeri tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan di peringkat negeri dan akan memberi tumpuan dalam penyertaan di peringkat kebangsaan dengan fokus untuk mengharumkan nama negeri Kedah dalam bidang sukan.
            3.2        Pelajar-pelajar Sekolah Sukan Negeri akan dibenarkan pulang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan-pertandingan peringkat daerah dengan mewakili sekolah feeder masing-masing.
4.         Pun begitu, Daerah Kota Setar yang ramai jumlah pelajarnya di SSN telah memutuskan untuk mewujudkan satu pasukan MSSD bagi bert5anding di peringkat MSSK (D) dan dipersetujui secara bersama melalui satu perbincangan dalam syarat-syarat pertandingan yang jelas.
5.         Malangnya, di peringkat Daerah Padang Terap, syarat pertandingan tidak menjelaskan secara bertulis tentang status pelajar SSN sehingga menimbulkan keraguan, ketidakpuasan hati dan persoalan dalam kalngan pasukan-pasukan yang bertanding.
6.         Apatah lagi, dalam masa yang sama pihak MSSD hanya mewujudkan satu pasukan dengan dua peserta sehingga menampakkan seolah-olah kehadiran pasukan MSSD dilihat untuk menafikan kemenangan atlit sekolah lain. Persoalannya, siapakah yang mengurus dan menjaga kebajikan atlit SSN apabila mereka mewakili MSSD.
7.         Sehubungan itu, mengambil kira keputusan yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Pembangunan Sukan Negeri dan ketiadaan syarat-syarat yang jelas dperingkat MSSD dalam memperhalusi status pelajar SSN maka pihak kami memohon agar atlit SSN dibenarkan bertanding mewakili sekolah feeder masing-masing.
8.         Dalam kes Madihah bt Idris, pelajar ini telah ditawarkan dan didaftarkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah untuk belajar di SMK Padang Terap berdasarkan Borang KSM II bertarikh 22 Sept 2010 serta mengambil kira segala kebajikan termasuk makan minum dan pengangkutan ke Kejohanan MSSK (D) adalah diuruskan oleh pihak Kontinjen SMK Padang Terap maka selayaknya pelajar ini mewakili Kontinjen SMK Padang Terap dalam Kejohanan Olahraga MSSK (D) 2011.
9.         Adalah diharapkan, penjelasan dan rayuan ini mendapat pertimbangan yang sebaiknya daripada pihak tuan.

`BERKHIDMAT UNTUK NEGARA’
`SEDERAP MENUJU KE ARAH PRESTASI TERBILANG’’
Saya yang menurut perintah,
_________________________
(MUHAMAD NOR RASHIDI BIN MAHAMOD)
Penolong Kanan Kokurikulum,
SMK Padang Terap, 06300 Kuala Nerang, Kedah Darul Aman.