Rabu, 9 Mac 2011

Kalaulah Madihah milik kita...


Kes Madihah dan Kesannya kepada Pembangunan Sukan Daerah
Keputusan telah dibuat dan tulisan ini tidak mampu untuk mengubah keadaan dalam apa keadaan sekalipun kerana kita terlalu taksub dengan keputusan-keputusan dalam mesyuarat. Apatah lagi undian secara belah bahagi pastinya tidak memberi kesan jika pihak yang tersilap mengakui kesilapan dan berjanji untuk membetulkan keadaan. Perbincangan pula diadakan kononnya secara dalam keluarga dan semangat musyawarah. Inilah situasi yang berlaku dalam kes Madihah sehingga peraturan diabaikan sekaligus menjadikan atlit sebagai mangsa.

Madihah bt Idris, pelajar tingkatan 1 di Sekolah Sukan Negeri. Kejayaan besarnya telah digilap oleh guru-guru SK Padang Terap dan potensinya begitu menyerlah dalam Kejohanan Olahraga di peringkat MSSK dan MSSM. Lantaran itu, tawaran SSN adalah aset yang paling bernilai dalam usaha untuk terus membangunkan potensi atlit ini. Ibu dan bapanya terpaksa melepaskan Madihah pergi dengan berat hati. Semua pihak pastinya gembira kerana Madihah menjadi ikon baru dalam sukan daerah yang mungkin mengembalikan zaman kegemilangan Roslinda Samsu. Bakat dan potensinya tentu lebih baik di SSN berbanding SMK Padang Terap yang menjadi pilihan abang dan kakaknya menyambung pelajaran. Dengan segala kemudahan di SSN pastinya Madihah akan lebih menyerlah. Dalam sejarah sukan daerah, Madihah bukan pelajar pertama yang bersekolah di SSN. Nurul Husna (Pelajar SMK Naka) juga pernah di SSN (SMKTA) dan terpilih mewakili Kedah dalam beberapa siri SUKMA. Malah Roslinda Samsu yang kini namanya tercatat dalam sejarah kegemilangan olahraga negara pernah bersekolah di sekolah sukan (SSAAS).  Bezanya mereka pulang mewakuli sekolah dalam Kejohanan Daerah (MSSD) dan telah membantu sekolah asal mereka mencapai kejayaan.  Dalam kes Madihah, keputusan yang dibuat amat berbeza dan bertentangan dengan amalan sedia ada. Madihah telah dilarang untuk mewakili sekolah dan bagi memberi peluang kepadanya bertanding satu pasukan baru yang atas nama MSSD telah diwujudkan.
Kesannya, Madihah masih berpeluang berlari dan beliau telah memenangi pingat emas dalam acara yang disertainya. Madihah membuktikan dia benar-benar hebat dalam saingan dengan atlit sekelasnya. SMK PT tidak rugi apa-apa apabila Madihah berlari untuk MSSK. Apalah sangat dua pingat emas Madihah berbanding sokongan moral dan motivasi yang perlu diberikan kepadanya. Madihah sangat memerlukan sokongan dan motivasi tersebut untuk terus membangunkan potensinya. Bakatnya tidak perlu disekat hanya kerana dia atlit yang boleh menggugat pencapaian sekolah lain memburu emas. Itulah pandangan mereka yang meletakkan pembangunan atlit sebagai agenda utama. Malangnya, niat Madihah untuk berlari dalam acara-acara lain tersekat khususnya larian berganti-ganti. Madihah hilang motivasi untuk berlari kerana pasukannya hanya diwakili oleh beliau seorang. Demikian nasib Madihah, atlit cemerlang yang wajar kita beri perhatian. Membiarkan dia melihat rakan-rakan berlari seakan membunuh minatnya terhadap sukan olahraga.
Mungkin ada yang tersirat disebalik usaha menubuhkan pasukan MSSD bertanding dalam Kejohanan Olahraga Daerah. Hanya mereka yang boleh menjawabnya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan