Selasa, 2 Ogos 2011

Tahniah...Terhebat dan TERIMA KASIH SEMUA.

Salam Terap Terbilang.
Dipanjatkan syukur ke hadrat Allah SAW kerana dengan limpah hidayahnya maka segala perancangan yang direncanakan berjaya disempurnakan. Biarpun ada kelompangan dan kekurangan dalam ruang-ruang tertentu, itu sekadar menyemarakkan lagi titisan usaha bagi membaiki segala kelemahan yang ada. Kalungan Tahniah buat penerima-penerima anugerah. Biarpun nilainya tidak seberapa tetapi jadikanlah ianya sebagai kenangan terindah. Penghargaan dan terimakasih tidak terhingga atas kepulangan ratu olahraga negara. Kembalinya Roslinda Samsu ke bumi Padang Terap adalah kepulangan yang dinanti-nanti.

Anugerah Terap Terbilang adalah cetusan tanda kebanggaan kami atas keterbilangan yang telah dipacu dalam mengangkat maruah dan martabat sukan negara. Sudah pasti hadirnya Roslinda membangkitkan nostalgia silam ketika memacu kegemilangan olahraga di Daerah Padang Terap ini amnya dan SMK Padang Terap khasnya. Buat guru-guru yang pernah menabur budi, kuntuman kasih kami hiaskan. Seketika tuan di sini, elok kiranya memutar kembali kotak ingatan mengimbau segala perjalanan silam. Rasanya masih ada sisa-sisa kenangan yang menjadi lakaran indah untuk dipahatkan dalam lubuk ingatan. Tidak lupa buat semua bekas pengetua yang turut serta. Sesekali bila berbual-bual dengan Cikgu Ya ( Hj Yahya Md Isa - Pengetua pertama) banyak kisah yang dilontarkan. Cabaran dan dugaan mematangkan perjalanan. Cikgu Lah, senyum menyindir memerhatikan banggunan terbengkalai...tetapi kata-katanya benar-benar menusuk ke lubuk hati...`tahukah bagaimana berdirinya bangunan itu...ianya lahir dari titik peluh guru-guru yang sama-sama membanting tulang, bergotong royong membancuh simen dan menuang lantai.....'. Daun-daun pohon ketapang yang berbaris menghias laluan melambai mesra seolah-olah  menyambut kembali para peneroka silam yang memugar tanah sekankang ini. Mereka suburkan medan ilmu dengan penuh kesungguhan, bajai dan sirami agar ianya terus mekar memayung insan. Teduh, teguh dan agam. Kini, sekolah ini 25 tahun usianya. Dewasa bersama pengalaman, matang mendepani cabaran. Sudah ramai yang terhasil dari kolam ilmunya, jurutera, doktor, guru, ahli perniagaan dan atlit terkemuka...Moga sinar jaya ini kekal menerang zaman. Sekolah ini sekolah kita...ayuh semarakkan kegemilangannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan