Isnin, 20 Jun 2011

Dari Meja PK Kokurikulum sempena Perhimpunan Koku kali ke 3/2011

Assalamualaikum dan Salam Terap Terbilang…

Alhamdulillah, penggal pertama persekolahan telah kita lalui bersama, mengharungi segala cabaran dan mendepaninya dengan penuh kegigihan. Kesan hasilnya yang terlakar pasti menjadi momen-momen manis untuk dijadikan sandaran bagi memburu kegemilangan dalam baki-baki hari mendatang.

Biarpun halatuju dan fokus bagi penggal kedua lebih terarah kepada program-program peningkatan akademik  dan persiapan menghadapi peperiksaan, kalendar aktiviti sukan dan kokurikulum tetap kita teruskan bagi memenuhi  aspirasi KPM khasnya melaksanakan dasar 1Murid 1Sukan di sekolah.

Lantaran itu, komitmen dan kesungguhan kita bersama ditagih untuk terus cekal memperkasa slogan `sederap melangkah ke arah prestasi terbilang’ sambil membudayakan semangat `terap terbilang’ agar melekat kuat di hati sanubari bagi menjunjung segala visi dan misi sekolah.

Sesungguhnya `Kejohanan Olahraga Tahunan’ yang akan diadakan pada 28 Jun nanti adalah medan terbaik bagi melahirkan atlit yang mampu mewakili negara suatu hari nanti sebagaimana yang dibuktikan oleh  ikon olahraga  Roslinda Samsu. Moga, kita dapat merancang segala persiapan, merencana latihan bagi memastikan yang benar-benar terbilang mampu berdiri di pentas juara. Antara Garuda, Cenderawasih, Jentayu dan Rajawali...mana satu mampu terbang tinggi mengapai awan sambil melebarkan sayapnya...memburu kejuaraan.

Selamat bertanding dengan penuh semangat kesukanan dengan semangat `terap terbilang’.

Sekian, terima kasih.
PK Kokurikulum, SMK Padang Terap