Isnin, 19 September 2011

Selamat Datang

Perjalanan kita seringkali diuji dengan berbagai dugaan dan rintangan. Jesteru kita perlu mendepaninya dengan tabah dan penuh kesabaran. Apa jua yang mendatang terimalah dengan penuh keredhaan. Penentuan atas masa depan kita bukan ditentukan oleh insan lain. Kita yang mencorak segalanya.

Selasa, 2 Ogos 2011

Tahniah...Terhebat dan TERIMA KASIH SEMUA.

Salam Terap Terbilang.
Dipanjatkan syukur ke hadrat Allah SAW kerana dengan limpah hidayahnya maka segala perancangan yang direncanakan berjaya disempurnakan. Biarpun ada kelompangan dan kekurangan dalam ruang-ruang tertentu, itu sekadar menyemarakkan lagi titisan usaha bagi membaiki segala kelemahan yang ada. Kalungan Tahniah buat penerima-penerima anugerah. Biarpun nilainya tidak seberapa tetapi jadikanlah ianya sebagai kenangan terindah. Penghargaan dan terimakasih tidak terhingga atas kepulangan ratu olahraga negara. Kembalinya Roslinda Samsu ke bumi Padang Terap adalah kepulangan yang dinanti-nanti.

Anugerah Terap Terbilang adalah cetusan tanda kebanggaan kami atas keterbilangan yang telah dipacu dalam mengangkat maruah dan martabat sukan negara. Sudah pasti hadirnya Roslinda membangkitkan nostalgia silam ketika memacu kegemilangan olahraga di Daerah Padang Terap ini amnya dan SMK Padang Terap khasnya. Buat guru-guru yang pernah menabur budi, kuntuman kasih kami hiaskan. Seketika tuan di sini, elok kiranya memutar kembali kotak ingatan mengimbau segala perjalanan silam. Rasanya masih ada sisa-sisa kenangan yang menjadi lakaran indah untuk dipahatkan dalam lubuk ingatan. Tidak lupa buat semua bekas pengetua yang turut serta. Sesekali bila berbual-bual dengan Cikgu Ya ( Hj Yahya Md Isa - Pengetua pertama) banyak kisah yang dilontarkan. Cabaran dan dugaan mematangkan perjalanan. Cikgu Lah, senyum menyindir memerhatikan banggunan terbengkalai...tetapi kata-katanya benar-benar menusuk ke lubuk hati...`tahukah bagaimana berdirinya bangunan itu...ianya lahir dari titik peluh guru-guru yang sama-sama membanting tulang, bergotong royong membancuh simen dan menuang lantai.....'. Daun-daun pohon ketapang yang berbaris menghias laluan melambai mesra seolah-olah  menyambut kembali para peneroka silam yang memugar tanah sekankang ini. Mereka suburkan medan ilmu dengan penuh kesungguhan, bajai dan sirami agar ianya terus mekar memayung insan. Teduh, teguh dan agam. Kini, sekolah ini 25 tahun usianya. Dewasa bersama pengalaman, matang mendepani cabaran. Sudah ramai yang terhasil dari kolam ilmunya, jurutera, doktor, guru, ahli perniagaan dan atlit terkemuka...Moga sinar jaya ini kekal menerang zaman. Sekolah ini sekolah kita...ayuh semarakkan kegemilangannya.


Isnin, 20 Jun 2011

Dari Meja PK Kokurikulum sempena Perhimpunan Koku kali ke 3/2011

Assalamualaikum dan Salam Terap Terbilang…

Alhamdulillah, penggal pertama persekolahan telah kita lalui bersama, mengharungi segala cabaran dan mendepaninya dengan penuh kegigihan. Kesan hasilnya yang terlakar pasti menjadi momen-momen manis untuk dijadikan sandaran bagi memburu kegemilangan dalam baki-baki hari mendatang.

Biarpun halatuju dan fokus bagi penggal kedua lebih terarah kepada program-program peningkatan akademik  dan persiapan menghadapi peperiksaan, kalendar aktiviti sukan dan kokurikulum tetap kita teruskan bagi memenuhi  aspirasi KPM khasnya melaksanakan dasar 1Murid 1Sukan di sekolah.

Lantaran itu, komitmen dan kesungguhan kita bersama ditagih untuk terus cekal memperkasa slogan `sederap melangkah ke arah prestasi terbilang’ sambil membudayakan semangat `terap terbilang’ agar melekat kuat di hati sanubari bagi menjunjung segala visi dan misi sekolah.

Sesungguhnya `Kejohanan Olahraga Tahunan’ yang akan diadakan pada 28 Jun nanti adalah medan terbaik bagi melahirkan atlit yang mampu mewakili negara suatu hari nanti sebagaimana yang dibuktikan oleh  ikon olahraga  Roslinda Samsu. Moga, kita dapat merancang segala persiapan, merencana latihan bagi memastikan yang benar-benar terbilang mampu berdiri di pentas juara. Antara Garuda, Cenderawasih, Jentayu dan Rajawali...mana satu mampu terbang tinggi mengapai awan sambil melebarkan sayapnya...memburu kejuaraan.

Selamat bertanding dengan penuh semangat kesukanan dengan semangat `terap terbilang’.

Sekian, terima kasih.
PK Kokurikulum, SMK Padang Terap

Sabtu, 14 Mei 2011

Kem Kepimpinan Lestari dan Bina Sahsiah





Suara Hati...Sajak Hari Guru

Salam Keterbilangan...
Dipanjatkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan hidayahnya kita dapat meneruskan kehidupan dimaya pada ini. Maka dalam kesempatan ini, saya menghulurkan salam perjuangan dan ucapan tulus kasih `Selamat hari Guru' buat semua insan-insan yang bernama cikgu. 16 Mei merupakan detik keramat yang dirayakan oleh semua guru dengan perasaan bercampur baur. Ada bermacam rasa setiapkali mengingatkan pagi 16 Mei. Hadiah pelajar, kalungan bunga, kek, jamuan dan sebagainya adalah sketsa pahit manis bersama menjelang 16 Mei. Saya masih teringat ketika diminta menukilkan bait-bait puisi waktu sambutan hari guru setahun yang lalu.

Hari ni hari guru banyak aktiviti menarik
Depa pulak suruh saya baca sajak dialek
Saya kata awat tak panggil pak tuan syed
Tokoh guru juga bekas pendidik yang pandai berdialek
Nak buat gena tak cukup duit…zaman sengkek

Sajak saya berkisah perihal sejarah
Supaya kita pakat-pakat ambil kesah

Sekolah ini asal namanya SM Kuala Nerang
Lama mengukir sejarah gilang gemilang
Cekal gigih melahirkan watan terbilang
Mekar nama dalam perjalanan yang panjang
Kemudian bertukar menjadi SMDS Ahmad
Berdiri megah terus menabur rahmat
Berpuluh tahun  mendidik anak bangsa memperoleh berkat
Tanpa sejalur penat kekal menabur khidmat

Ini sekolahku sekolah lama penuh sejarah
Ramai  yang lahir darinya tersohor megah
Mencipta nama dalam perit dan payah
Menjunjung wawasan menjana amanah

Dulu aku ke sekolah setiap pagi
 Naik gerek tua cabuk kayuh sampai lenguh kaki
Sesekali rantai jatuh tangan berminyak peluh sampai ke  dahi
Sampai sekolah kadang-kadang lewat kena ketok ketampi
Tu kira nasib baik sebab bukan  penampar singgah kat  pipi
Cikgu dulu2 cengel2 tapi baik hati
Mengajaq sungguh2 tak dok pikiaq pasai DG-DG
Zaman pra SSB tak la terok bodek boss sana sini
Tapi tiap2  tahun tetap naik gaji
Mana ada cerita pakat nak sambung mengaji
Lagipun barang murah tak lagu la ni
Dua kupang lima duit cukup utk secawan kopi
Ngajaq tulis pakai kapor mana ada laptop  LCD
Tapi ramai jugak yang masuk university

Kisah nek gerek dah bertukar ganti
Budak sekolah zaman ni bawa motor lumba sampai pagi
Esok mari sekolah dok tersengguk a liur basi penuh pipi
Sebab malam dok berjaga lepak sana sini
Budak2 la ni bukan berapa kesah pasal nak mengaji
Banyak masa dok habis melenggak depan TV
Waktu pakat sibuk dok studi dema kira nak afundi
Maklumla henset kredit mak pak dok boh bagi
Mula sms lepas tu  belajaq keluaq dating curi-curi
Kata nak g kelas tambahan tapi melencong rata riti
Berkapoq atas motor tak kira petang malam ka pagi
Bila dah berdua-dua  masing-masing naik berahi
Tak sedaq perut bunting 9 bulan 10 hari
Kalut takut malu buang anak sana sini
Tepi longkang dalam jamban depa tak peduli
Tiap2 hari dok tubit cerita tok bayi
Harap-harap selisih malaikat anak murid cikgu tak buat lagu ni
Kesian kat mak pak kita sungguh-sungguh suruh mengaji
Harap sangat2 anak dema masuk university
Jangan la pulak kita pilih pusat serenti
Cita2 jadi doctor tapi dok galak cucuk badan sendiri
Bila dapat HIV masa tu dah tak bererti lagi
Orang dok senang hidup kita dok tunggu bila  nak mati


Selamat hari guru 1Malaysia disambut penuh berseri
Lepas baca doa pakat dengar perutusan menteri
Macam2 pesan amanat dan nasihat diberi
Supaya paham tugas besar yang menanti

Buat teman-teman guru teruskan cekal menabur bakti
Mendidik tanpa jemu agar murid bijak bestari
Kita ni rule model kena la tunjuk budi pekerti
Hidup kena muafakat jangan asyik dok berdengki
Jujur dan ikhlas berkhidmat menabur budi
Jangan dok harap sangat bonus kerajaan nak bagi
Kobarkan semangat juang putus asa jangan sekali
InsyaAllah berkat sabar balasan Tuhan pasti menanti

Buat boss di atas sana saja nak ingat mengingati
Tengok-tengokla anak buah yang pulun setengah mati
Kalau buat salah jangan pula dicemuh dicaci
Sudah lumrah insan buat salah sekali sekali
Yang memerah keringat tak kira masa tak kira hari
Depa ni semua bukan dok harap puja dan puji
Sekadar ungkapan terimakaseh dak cukup bererti

Buat anak-anak didik dengarlah segala nasihat diberi
Mai sekolah ingat pesan mak pak suruh mengaji
Jangan lawan cikgu berkat ilmu tiada lagi
Selisih tu bagi la salam baru Nampak sahsiah terpuji
Cikgu pun seronok bila saling hormat menghormati
Ingat lah anak-anak didik ku  pesan cikgu ni
Zaman lani zaman baru era teknologi
Belajaq kena rajin sapa malas lepas ke tepi
Bila moha Berjaya cikgu semua senang hati

Rasanya cukup dulu sampai disini
Ni bukan puisi sekadar kata saling mengerti
Yang masuk telinga kanan jangan dok keluaq telinga kiri
Ambil lah nasihat buat pedoman kemudian hari
Terimakaseh semua sampai kita jumpa lagi