Isnin, 14 Februari 2011

Yang Kalah dan Yang Menang...

Sekadar Renungan.
Kalah dan Menang adalah adat pertandingan. Tetapi mengapa kemenangan sahaja yang membuatkan kita gembira. Dan mengapa sukar untuk kita menerima kekalahan. Apakah kekalahan itu bermaksud kita gagal dan hilang segala-galanya. Tercalar sangatkah maruah kita apabila menjadi pasukan yang kalah sehingga kadang-kadang kita tidak mahu menerima kemenangan orang lain. Mengapa pula pelbagai alasan diberi apabila kita kalah tanpa mahu menyuluh kekurangan dan kelemahan sendiri. Kita sebenarnya dua kali kalah apabila kita tidak mahu menerima kemenangan orang lain. Kita kalah bertanding dan kita kalah melawan perasaan cemburu, hasad dan dengki.

Khamis, 10 Februari 2011

Kita Pengelola Kejohanan Akuatik MSSK 2011

Salam Mesra
SMK Padang Terap telah terpilih sebagai pengelola Kejohanan Akuatik MSSK 2011. Sesungguhnya amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak Majlis Sukan Sekolah Kedah dan PPD Padang Terap merupakan satu penghargaan buat kita semua. Untuk itu, komitmen dan sokongan semua adalah ditagih agar kejohanan tersebut berjalan lancar. Dalam membantu mengelolakan kejohanan tersebut SMK Padang Terap turut diamanahkan sebagai  Jawatankuasa Pertandingan, Jawatankuasa Teknikal, Peralatan dan Logistik serta Jawatankuasa Makanan dan Minuman. Moga sumbangan kita dalam meningkatkan mutu penganjuran sukan akan terus diperkasa seiring dengan slogan sekolah `Sederap Menuju Ke arah Prestasi Terbilang'.

Memperkasa Kebangkitan...

Salam Sejahtera...
Alhamdulillah...perancangan yang baik pasti membuahkan hasil yang terbaik. Usaha dan kegigihan mewarnai perjalanan setiap insan yang dahagakan kejayaan. Kejayaan tidak akan melalui jalan mudah dan tidak akan datang bergolek tanpa usaha terbaik daripada kita. Tekadkan dan tanamkan keyakinan untuk menuai hasilnya. Kalungan tahniah buat para atlit pasukan Merentas Desa SMKPT yang telah mengungguli persada kejuaraan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah 2011. Itu adalah langkah permulaan agar tradisi kegemilangan ini dapat kita perkasakan. Siapa sangka dengan hanya 600 pelajar kita mampu bersaing dengan sekolah-sekolah yang lebih hebat dan gah reputasinya. Sesungguhnya, keringat dan peluh yang membasahi wajah-wajah riang para atlit dapat menggambarkan kebanggaan mereka. Menumpaskan SMKDSA dan SMKKN, dua sekolah elit yang hadir dengan reputasi tinggi untuk menyapu bersih pingat-pingat kemenangan. Nyata, mereka hadir dengan sokongan yang kuat, kelengkapan dan penyertaan penuh 16 peserta dalam semua acara. Tetapi atlit-atlit kita tidak gentar untuk bersaing sama biarpun pada hakikatnya tiada siapa pernah menduga dengan hanya 11 peserta tiba-tiba kita melakar sejarah bermakna. Apa tidaknya, mengungguli 2 kategori acara seterusnya dinobatkan JUARA KESELURUHAN. Lakaran kehebatan nyata terserlah apabila 10 daripada 11 atlit kita tidak pulang hampa. Mereka telah dikalungkan pingat-pingat kemenangan sebagai tanda kebangkitan kita. Moga kebangkitan ini akan terus kita perkasakan.

Kejayaan Bermakna - Satu Permulaan